Sunday 31 March 2024

MAKSUD "TEPONG" DIALEK KELANTAN

 
Penduduk di Kelantan tidak makan kuih. Sebaliknya yang dimakan adalah “tepong”. Antara makanan terkenal di Kelantan ialah tepong boko, tepong lompat tikam, tepong pelita, tepong bukuh, tepong nikbat, tepong koci dan macam-macam jenis lagi.
 
Sebenarnya, tepong dalam dialek Kelantan bermaksud kuih. Dinamakan tepong kerana kuih-kuih tersebut diperbuat daripada sama ada tepung beras biasa, tepung beras pulut ataupun gandum.

Dalam bahasa baku, tepung adalah barang yang hancur dan lumat kerana ditumbuk atau dikisar.

Tepung beras di dalam dialek Kelantan dipanggil debu beras. Kalau pergi ke kedai kena sebut hendak beli debu beras sama ada pulut atau jemah. 
 
Pada masa dahulu, untuk penyediaan tepung perlu melalui proses kisar mengguanakan kisaran batu. Ia melibatkan proses yang lama bermula dengan bahan itu perlu direndam, kemudian dikisar dan diperah menjadi bentuk ketul sebelum diuli dan seterusnya dibentuk membuat kuih yang diingini.
 
Namun, sekarang ini selari dengan penggunaan bahasa baku yang lebih meluas, tepong kini telah disebut kuih, terutama di kalangan generasi muda. Pun begitu, orang tua-tua masih kerap menggunakan perkataan tepong untuk merujuk kepada kuih.